Tuesday, October 03, 2006

Tasammuh Dalam Berdakwah

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Pastinya kalian mengetahui akan erti tasammuh secara umum iaitu berlapang dada. Di sini penulis bukanlah mahu mengupas dengan mendalam tentang konsep tasammuh tetapi hanya pada permukaannya sahaja. Ini kerana, pemahaman sesuatu perkara hendaklah disertai dengan amal. Tiada gunanya mengetahui banyak perkara tetapi hanya pada teoritikal sahaja tanpa sedikit pun praktis.
Tasammuh di dalam dakwah amat penting dalam menjana kualiti dan kuantiti dakwah. Pendakwah yang selalu bersifat prejudis pastinya akan dijauhi oleh mad’u dan turut dilabel sebagai ekstremis mahupun jumud. Banyak pendakwah kini yang menunjukkan sifat prejudis terhadap mad’u dan berdakwah secara keras. Maka, ramailah orang yang akan menjauhi golongan ini kerana tidak tahan dengan kelakuan mereka terutama mad’u yang amat kurang pemahaman tentang Islam.
Sifat menyempitkan dada terhadap mad’u di dalam berdakwah boleh didorong oleh pelbagai faktor. Antaranya ialah penyakit hati da’ie itu sendiri. Sifat ujub dan riak dengan ilmu dan merasakan diri lebih beriman dan baik sering menghuni hati. Mungkin kadang-kadang kita tidak sedar, tetapi cuba kalian muhasabah kembali, pernahkah kalian merasakan begitu?
Sesetengah da’ie bahkan tidak mahu berkawan dengan mereka yang zahirnya kelihatan jahil. Namun sebenarnya golongan inilah yang perlu didekati kerana hati mereka kosong dari mengenali Islam yang sebenar. Kita hendaklah mengamalkan konsep jangan menambah musuh dalam kegiatan dakwah kita kerana gerakan musuh itu sentiasa cuba memikat hati sesiapa sahaja untuk menyertai mereka tanpa menilai penampilan orang tersebut. Biarpun orang tersebut berpakaian tidak senonoh atau tidak menutup aurat, tetapi jangan sampai mereka itu memihak kepada musuh.
Hendaklah diingat bahawa bahasa badan turut memainkan peranan dalam berdakwah. Jelingan mata adalah anggota yang paling utama menunjukkan perasaan seseorang. Jika pandangan mata para da’ie yang menunjukkan rasa menyampah pada mad’u ataupun senyuman sinis, maka mad’u akan menjadi bertambah benci pada golongan dakwah atas sifat prejudis yang ditunjukkan. Jadikan senyuman sebagai senjata untuk menyejukkan hati mad’u dan lapangkan dada kalian apabila berhadapan dengan golongan ini ketika berdakwah.
Pada hakikatnya, mad’u memandang tinggi kepada para da’ie dari segi penampilan, ibadah dan kelakuan sehingga mereka terasa segan untuk mendekatkan diri. Tetapi apabila da’ie sendiri cuba mendekati dan menjalinkan ukhuwah dengan mereka, maka para mad’u ini terasa dihargai. Ramai di kalangan mereka yang kelihatan jahil ini sebenarnya berhati lembut, namun kadang-kadang para da’ie sendiri yang cuba menutup pintu hidayah itu kerana merasakan mereka ini tak akan berubah. Selamilah keadaan mad’u dan berdakwahlah mengikut waqi’ mereka.
Imam Hasan Al-Banna amat dikenali dengan sifat tasammuhnya. Sifat inilah yang mampu mengubah insan-insan yang dahulunya golongan maksiat menjadi pejuang Allah yang amat hebat dan tak goyah digugah dengan ujian dan siksaan dalam perjuangan Ikhwanul Muslimin untuk menegak dan membela Islam. Antara kisah yang dapat dijadikan contoh ialah penerimaan Assyahid terhadap seorang tokoh yang tabiatnya ialah meminum arak ke dalam Ikhwanul Muslimin. Beliau menyatakan kepada tokoh itu bahawa Ikhwanul Muslimin akan menerimanya dengan apa jua kondisi tokoh tersebut. Akhirnya, tokoh itu telah meninggalkan tabiat minum araknya dan menjadi pendokong dakwah yang setia.
Rendahkan hatimu wahai para pejuang kerana yang boleh bermegah itu hanyalah Allah. Belum tentu kalian yang pada mulanya seorang da’ie akan kekal menjadi da’ie dan masuk ke dalam syurga Allah. Bahkan belum tentu orang yang sekarang ini kelihatan jahil dan tidak mengamalkan Islam sepenuhnya akan mengakhiri hidupnya begitu. Mungkin mereka akan menjadi lebih baik dari kita atas usaha dakwah orang lain dan hidayah yang Allah campakkan ke hati mereka. Ya Allah, tetapkan hati kami di atas agamaMu, ketaatan kepadaMu dan di atas jalanMu. Aamiin.

Disediakan oleh,

Nurul Hani Mohd Hata
Thn 3, Bioteknologi Makanan

Fakulti Sains dan Teknologi
Kolej Universiti Islam Malaysia

No comments: