Thursday, October 19, 2006

TAFSIR AL-FURQAN (Bahagian 1)

Pendahuluan

Sebelum melangkah lebih jauh, ingin saya utarakan hadith yang merupakan wasiat Nabi s.a.w. pada haji Wida’ iaitu haji terakhir baginda. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Hendaklah setiap kamu yang hadir, menyampaikan sesuatu dariku kepada mereka yang hadir.”
Bertitik tolak daripada hadith di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa sebagai insan yang bergelar seorang mukmin, kita memikul tanggungjawab sebagai seorang da’ie. Perlu menyampai dan menyebarluaskan ilmu Allah kepada sesiapa sahaja mengikut keupayaan dan kadar ilmu masing-masing.
Menyahut akan seruan ini, di sini, saya ingin berkongsi sedikit ilmu berkenaan dengan tafsir surah Al-Furqan. Surah yang mempunyai 77 ayat ini mengandungi mutiara-mutiara ilmu yang cukup indah untuk kita kupas dan teliti bersama-sama.
Di dalamnya terkandung penjelasan tentang ke Esaan Allah SWT, keNabian Muhammad s.a.w., peristiwa-peristiwa yang berlaku pada hari Qiamat serta mengisahkan tentang kebatilan dan kemusyrikan golongan kuffar.
Surah ini juga menyingkap tentang kejadian alam yang menyimpan bukti agung ke Esaan dan kekuasaanNya dan bagaimana umat terdahulu ditimpa nasib buruk akibat keingkaran dan penentangan yang mereka lakukan. Manakala di akhir surah ini, Allah SWT membongkar tentang “Ibadur Rahman” iaitu gelaran yang diberikan kepada hamba-hambaNya yang beriman dan memiliki sifat-sifat terpuji.
Diharap kupasan ringkas tentang tafsir surah Al-Furqan ini akan sedikit sebanyak menambah ilmu kita di samping meningkatkan kecintaan kita pada Allah SWT yang telah menghadiahkan kepada kita lembaran yang amat berharga iaitulah Al-Quran al Karim. Ibarat seseorang yang sentiasa menanti dan berulang membaca surat cinta dari seorang kekasihnya, begitulah jua dengan Al-Quran, yang merupakan surat cinta Al-Khaliq kepada kita sebagai hambaNya. Maka rugilah kita jika mengabaikan surat cinta dari kekasih yang Maha Agung, Maha Penyayang..

Tafsiran Ayat Pertama

Surah ini dinamai al-Furqan yang bermaksud (batu) sempadan yang memisahkan, al-Furqan itu ialah al-Quran yang memisahkan atau membezakan antara yang hak dan yang batil, yang benar dan yang salah. Dalam ayat pertama, firman Allah SWT yang bermaksud:
“ Maha Suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hambaNya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam”.

Di dalam ayat pertama ini, terdapat beberapa isi penting yang dapat diambil pengajaran iaitu:
§ Persoalan tentang Berkat
§ Tiga batu tanda (Furqan)
§ Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang hamba

1. Persoalan berkat

Surah ini dimulai dengan Tabaraka yang beerti Maha Berkat. Apakah maksud sebenar berkat itu sendiri, tidak dapat diterjemah dalam apa jua bahasa sekalipun di dunia ini. Lantaran kalimah tersebut bukanlah rekaan pakar bahasa.
Jika sembahyang menurut kalimah agama disebut As-Sholah, yang bermakna menyembah, memuja atau mengabdikan diri. Pengertian ini diberi berdasarkan keinginan naluri manusia untuk memuja dan membesarkan sesuatu. Jika naluri tersebut terbit dari seorang yang mempunyai ilmu, maka yang dipuja itu ialah Allah Taala. Maka keperluan memuja itu mempunyai istilah yang ditetapkan oleh agama iaitulah as-Sholah.
Namun, kalimah “Barakah” merupakan kalimah tulen dari Allah SWT, yang tiada maknanya yang khusus, melainkan diambil dan disebut dalam bahasanya yang asal iaitu barakah atau dalam bahasa Melayu disebut berkat.
Walau bagaimanapun, “Barakah” itu boleh difahami dengan memberikan contoh-contoh tertentu. Antaranya, jika seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan, dan pekerjaan itu tidak dapat memberikan ketenangan dan kebahagian serta kehidupan mereka sentiasa dalam kesulitan, maka yang demikian itu dikatakan sebagai tidak berkat.
Keberkatan dikaitkan dengan akhirat. Justeru semua amalan dan pekerjaan yang dilakukan, Islam mengajar agar semua tersebut mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Perkara ini diterjemahkan melalui doa harian kita dalam qunud iaitu yang bermaksud “Ya Allah, berilah keberkatan ke atas apa-apa yang telah Engkau kurniakan”. Ertinya di sini, sebanyak manapun kurniaan Allah (seperti kesihatan, jodoh, kekayaan, ilmu dan lain-lain), yang lebih utama ialah keberkatan. Jika diberi jodoh, biarlah yang dapat menjalankan tanggungjawab secara Islam. Sekiranya dikurniakan ilmu pula, biarlah ilmu yang bermanafaat, yang dapat mencapai makrifat kepada Allah Taala.
Perkara ‘Berkat’ inilah yang membezakan antara apa yang diperolehi oleh orang mukmin dan orang kafir. Kadangkala, kita dapat perhatikan bahawa Allah Taala berikan lebih banyak kurniaan kepada orang kafir. Tetapi malangnya, yang diperolehi tersebut tidak ada keberkatan dan tidak memberi faedah buat dirinya di akhirat. Kerana itu, manusia perlu menuruti jalan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yakni Islam, kerana hanya dengan cara ini sahaja kita boleh memperoleh keberkatan.

2. Tiga batu tanda (Furqan)

Pada hakikatnya al-Furqan atau al-Quran itu adalah batu tanda. Ayat-ayat yang mengandungi cerita, hukum atau nasihat, kesemuanya menjadi batu sempadan atau pemisah yang membolehkan manusia memilih hanya satu di antara dua. Memilih haq atau batil, halal atau haram, dibenarkan atau dilarang, yang disukai Allah atau yang dibenciNya. Semuanya adalah jelas dan nyata. Sekurang-kurangnya terdapat tiga batu tanda yang terkandung di dalam al-Quran iaitu:

i. Furqan Pertama- Pembeza antara umat seperti kanak-kanak dan orang dewasa.

Apabila al-Quran selesai diturunkan, maka umat manusia (umat Muhammad) sudah dianggap dewasa dan matang. Sementara umat yang sebelum itu disifatkan sebagai umat yang masih kebudak-budakan. Ini dapat kita lihat melalui kisah-kisah umat terdahulu dalam al-Quran apabila Allah Taala segera menurunkan bala bencana terhadap keingkaran mereka. Seumpama seorang bapa melayan anak-anak yang masih kecil, apabila melakukan kesalahan segera dirotan setelah tidak menghiraukan nasihat sebagai cara memberikan pengajaran.
Para Rasul sebelum Nabi Muhammad berdakwah kepada kaumnya seperti mengajak kanak-kanak. Sebagaimana kebiasaannya, kanak-kanak apabila disuruh melakukan sesuatu, mereka akan dijanjikan denagn upah yang menarik. Kerana itulah, apabila rasul-rasul terdahulu meminta umatnya melakukan sesuau, dinyatakan kepada kaum mereka tentang janji-janji yang menarik yang bakal diterima sekiranya melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah Taala. Sebagaimana contohnya, Nabi Hud dan Nabi Nuh memberi pelbagai janji indah. Sekiranya mereka memohon keampunan dari dosa mereka, nescaya Allah akan menurunkan hujan yang lebat. Janji tersebut memang cukup menarik bagi penduduk yang tinggal di kawasan gurun yang gersang.
Namun, bagi orang dewasa, jika mereka melanggar perintah Allah, adakah wajar mereka dipukul seperti kanak-kanak? Sudah tentulah tidak. Sejak dari zaman nabi Muhammad, pemikiran manusia sudah dewasa disebabkan adanya al-Quran yang telah membentuk manusia menjadi matang dan berfikiran secara dewasa. Al-Quran bertindak mengasuh manusia dengan sempurna, dengan aqidah yang jelas dan syariat yang lengkap mencakupi seluruh bidang kehidupan.
Umpamanya, apabila seorang isteri nusyuz, Allah telah mengajar untuk cara mengatasi perkara tersebut secara berperingkat-peringkat (Rujuk surah An-Nisa’:34). Tindakan yang di ambil adalah lebih kepada untuk menimbulkan kesedaran dan keinsafan kerana mereka manusia dewasa mempunyai maruah. Orang dewasa ada kalanya mereka akan lebih malu jika maruah mereka dicabar berbanding dengan ditampar pipinya.

ii. Furqan Kedua- Pembeza antara zaman mukjizat yang dapat dilihat dengan mukjizat yang mesti dilihat dari segi fikiran.

Tidak mudah bagi umat terdahulu untuk beriman dengan kenabian dan kerasulan seorang utusan Allah. Sebagai contoh, kisah kedegilan umat Nabi Shaleh yang telah dirakamkan dalam surah A-Syura ayat 153 hingga 156. Demi untuk membuktikan kebenaran kenabiannya, kaumnya telah mencabar supaya menjadikan seekor unta dari seketul batu yang terbelah secara tiba-tiba di hadapan mereka. Meskipun suatu luar biasa telah dibuktikan, namun mereka tetap ingkar dan tidak menunaikan janji untuk beriman kepada Allah.
Sebaliknya, generasi selepas turunnya al-Quran disifatkan sebagai umat yang dewasa dan matang. Mereka sudah boleh mengambil perbandingan dari kisah-kisah kaum yang terdahulu sebagai tazkirah (peringatan), nasihat yang berharga dan hukum hakam yang sempurna. Umar al-Khatab, hatinya menjadi lembut dan mengalir air mata apabila timbul keinsafan setelah mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh saudara perempuannya. Umar tidak meminta supya batu menjadi unta atau pembuktian melalui benda lain untuk membenarkan kerasulan Muhammad. Memadai hanya al-Quran yang menjadi penawar, panduan dan ikutan.


iii. Furqan Ketiga- Berakhirnya zaman nabi untuk sesuatu bangsa tertentu dengan lahirnya Rasulullah yang diutus untuk seluruh bangsa.

Umat terdahulu apabila diturunkan seorang nabi kepada suatu kaum, beerti nabi tersebut hanya untuk bangsa tersebut sahaja. Maka syariat yang dibawanya adalah terhad bagi keperluan bangsa tertentu.
Sebaliknya, ajaran nabi Muhammad s.a.w. yang terkandung di dalam al-Quran adalah sesuai untuk seluruh manusia di semua pelusuk alam, yang melangkaui alam timur dan barat tanpa mengira warna kulit dan perwatakan. Nabi Muhammad s.a.w. membawa cahaya Islam, yakni rahmat kepada semua. Sebagaimana yang dinyatakan melalui firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 107, yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.

3. Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang hamba

Dalam ayat pertama ini, Allah SWT telah menggunakan perkataan “ ‘ala ‘abdihi”. Yang dimaksudkan hamba di sini, tidak lain ialah Nabi Muhammad s.a.w. Dari aspek pengertian biasa, hamba ialah manusia yang tidak memiliki kemerdekaan, yang rendah tarafnya dari kuli (yang masih mempunyai kebebasan walaupun ada syarat yang perlu dipatuhi). Wajarkah Nabi SAW dikatakan hamba atau kuli?
Allah SWT Maha Bijaksana, menghendaki setiap makhluk patuh pada segala arahanNya. Orang yang patuh adalah hamba kepada tuannya/majikannya. Kepatuhan seorang hamba kepada tuannya menyebabkan tuannya itu sayang kepadanya. Sebaliknya, kuli yang tidak patuh atau menangguhkan/mempersoalkan arahan, maka ia disebut kuli yang lawan tauke.
Di antara ramai hamba Allah SWT, hanya Nabi Muhammad yang sangat patuh atas apa jua arahanNya, maka Allah amat menyayangi baginda. Walaupun Nabi SWT hambaNya, tapi Allah telah memberikan keutamaan kepada baginda sehingga dijemput dan diperjalankan menghadap singgahsana Allah Taala dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj.
Demikianlah penghargaan Allah Taala kepada manusia yang bergelar hamba yang bernama Muhammad SAW. Baginda dibawa ke ufuk yang tinggi untuk menghadiri satu pertemuan dengan Allah SWT, pertemuan yang sungguh akrab dengan jarak yang amat dekat, iaitu hanya sejarak kira-kira dua hujung anak panah. Sesungguhnya Muhammad SAW bukanlah kuli/hamba kepada manusi, tetapi menjadi kuli/hamba kepada Allah Azza wa Jalla.

Bersambung…

JUNAIDAH ABU SEMAN
16 Oktober 2006
23 Ramadhan 1427