Thursday, October 19, 2006

TAFSIR AL-FURQAN (Bahagian 1)

Pendahuluan

Sebelum melangkah lebih jauh, ingin saya utarakan hadith yang merupakan wasiat Nabi s.a.w. pada haji Wida’ iaitu haji terakhir baginda. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Hendaklah setiap kamu yang hadir, menyampaikan sesuatu dariku kepada mereka yang hadir.”
Bertitik tolak daripada hadith di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa sebagai insan yang bergelar seorang mukmin, kita memikul tanggungjawab sebagai seorang da’ie. Perlu menyampai dan menyebarluaskan ilmu Allah kepada sesiapa sahaja mengikut keupayaan dan kadar ilmu masing-masing.
Menyahut akan seruan ini, di sini, saya ingin berkongsi sedikit ilmu berkenaan dengan tafsir surah Al-Furqan. Surah yang mempunyai 77 ayat ini mengandungi mutiara-mutiara ilmu yang cukup indah untuk kita kupas dan teliti bersama-sama.
Di dalamnya terkandung penjelasan tentang ke Esaan Allah SWT, keNabian Muhammad s.a.w., peristiwa-peristiwa yang berlaku pada hari Qiamat serta mengisahkan tentang kebatilan dan kemusyrikan golongan kuffar.
Surah ini juga menyingkap tentang kejadian alam yang menyimpan bukti agung ke Esaan dan kekuasaanNya dan bagaimana umat terdahulu ditimpa nasib buruk akibat keingkaran dan penentangan yang mereka lakukan. Manakala di akhir surah ini, Allah SWT membongkar tentang “Ibadur Rahman” iaitu gelaran yang diberikan kepada hamba-hambaNya yang beriman dan memiliki sifat-sifat terpuji.
Diharap kupasan ringkas tentang tafsir surah Al-Furqan ini akan sedikit sebanyak menambah ilmu kita di samping meningkatkan kecintaan kita pada Allah SWT yang telah menghadiahkan kepada kita lembaran yang amat berharga iaitulah Al-Quran al Karim. Ibarat seseorang yang sentiasa menanti dan berulang membaca surat cinta dari seorang kekasihnya, begitulah jua dengan Al-Quran, yang merupakan surat cinta Al-Khaliq kepada kita sebagai hambaNya. Maka rugilah kita jika mengabaikan surat cinta dari kekasih yang Maha Agung, Maha Penyayang..

Tafsiran Ayat Pertama

Surah ini dinamai al-Furqan yang bermaksud (batu) sempadan yang memisahkan, al-Furqan itu ialah al-Quran yang memisahkan atau membezakan antara yang hak dan yang batil, yang benar dan yang salah. Dalam ayat pertama, firman Allah SWT yang bermaksud:
“ Maha Suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hambaNya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam”.

Di dalam ayat pertama ini, terdapat beberapa isi penting yang dapat diambil pengajaran iaitu:
§ Persoalan tentang Berkat
§ Tiga batu tanda (Furqan)
§ Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang hamba

1. Persoalan berkat

Surah ini dimulai dengan Tabaraka yang beerti Maha Berkat. Apakah maksud sebenar berkat itu sendiri, tidak dapat diterjemah dalam apa jua bahasa sekalipun di dunia ini. Lantaran kalimah tersebut bukanlah rekaan pakar bahasa.
Jika sembahyang menurut kalimah agama disebut As-Sholah, yang bermakna menyembah, memuja atau mengabdikan diri. Pengertian ini diberi berdasarkan keinginan naluri manusia untuk memuja dan membesarkan sesuatu. Jika naluri tersebut terbit dari seorang yang mempunyai ilmu, maka yang dipuja itu ialah Allah Taala. Maka keperluan memuja itu mempunyai istilah yang ditetapkan oleh agama iaitulah as-Sholah.
Namun, kalimah “Barakah” merupakan kalimah tulen dari Allah SWT, yang tiada maknanya yang khusus, melainkan diambil dan disebut dalam bahasanya yang asal iaitu barakah atau dalam bahasa Melayu disebut berkat.
Walau bagaimanapun, “Barakah” itu boleh difahami dengan memberikan contoh-contoh tertentu. Antaranya, jika seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan, dan pekerjaan itu tidak dapat memberikan ketenangan dan kebahagian serta kehidupan mereka sentiasa dalam kesulitan, maka yang demikian itu dikatakan sebagai tidak berkat.
Keberkatan dikaitkan dengan akhirat. Justeru semua amalan dan pekerjaan yang dilakukan, Islam mengajar agar semua tersebut mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Perkara ini diterjemahkan melalui doa harian kita dalam qunud iaitu yang bermaksud “Ya Allah, berilah keberkatan ke atas apa-apa yang telah Engkau kurniakan”. Ertinya di sini, sebanyak manapun kurniaan Allah (seperti kesihatan, jodoh, kekayaan, ilmu dan lain-lain), yang lebih utama ialah keberkatan. Jika diberi jodoh, biarlah yang dapat menjalankan tanggungjawab secara Islam. Sekiranya dikurniakan ilmu pula, biarlah ilmu yang bermanafaat, yang dapat mencapai makrifat kepada Allah Taala.
Perkara ‘Berkat’ inilah yang membezakan antara apa yang diperolehi oleh orang mukmin dan orang kafir. Kadangkala, kita dapat perhatikan bahawa Allah Taala berikan lebih banyak kurniaan kepada orang kafir. Tetapi malangnya, yang diperolehi tersebut tidak ada keberkatan dan tidak memberi faedah buat dirinya di akhirat. Kerana itu, manusia perlu menuruti jalan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yakni Islam, kerana hanya dengan cara ini sahaja kita boleh memperoleh keberkatan.

2. Tiga batu tanda (Furqan)

Pada hakikatnya al-Furqan atau al-Quran itu adalah batu tanda. Ayat-ayat yang mengandungi cerita, hukum atau nasihat, kesemuanya menjadi batu sempadan atau pemisah yang membolehkan manusia memilih hanya satu di antara dua. Memilih haq atau batil, halal atau haram, dibenarkan atau dilarang, yang disukai Allah atau yang dibenciNya. Semuanya adalah jelas dan nyata. Sekurang-kurangnya terdapat tiga batu tanda yang terkandung di dalam al-Quran iaitu:

i. Furqan Pertama- Pembeza antara umat seperti kanak-kanak dan orang dewasa.

Apabila al-Quran selesai diturunkan, maka umat manusia (umat Muhammad) sudah dianggap dewasa dan matang. Sementara umat yang sebelum itu disifatkan sebagai umat yang masih kebudak-budakan. Ini dapat kita lihat melalui kisah-kisah umat terdahulu dalam al-Quran apabila Allah Taala segera menurunkan bala bencana terhadap keingkaran mereka. Seumpama seorang bapa melayan anak-anak yang masih kecil, apabila melakukan kesalahan segera dirotan setelah tidak menghiraukan nasihat sebagai cara memberikan pengajaran.
Para Rasul sebelum Nabi Muhammad berdakwah kepada kaumnya seperti mengajak kanak-kanak. Sebagaimana kebiasaannya, kanak-kanak apabila disuruh melakukan sesuatu, mereka akan dijanjikan denagn upah yang menarik. Kerana itulah, apabila rasul-rasul terdahulu meminta umatnya melakukan sesuau, dinyatakan kepada kaum mereka tentang janji-janji yang menarik yang bakal diterima sekiranya melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah Taala. Sebagaimana contohnya, Nabi Hud dan Nabi Nuh memberi pelbagai janji indah. Sekiranya mereka memohon keampunan dari dosa mereka, nescaya Allah akan menurunkan hujan yang lebat. Janji tersebut memang cukup menarik bagi penduduk yang tinggal di kawasan gurun yang gersang.
Namun, bagi orang dewasa, jika mereka melanggar perintah Allah, adakah wajar mereka dipukul seperti kanak-kanak? Sudah tentulah tidak. Sejak dari zaman nabi Muhammad, pemikiran manusia sudah dewasa disebabkan adanya al-Quran yang telah membentuk manusia menjadi matang dan berfikiran secara dewasa. Al-Quran bertindak mengasuh manusia dengan sempurna, dengan aqidah yang jelas dan syariat yang lengkap mencakupi seluruh bidang kehidupan.
Umpamanya, apabila seorang isteri nusyuz, Allah telah mengajar untuk cara mengatasi perkara tersebut secara berperingkat-peringkat (Rujuk surah An-Nisa’:34). Tindakan yang di ambil adalah lebih kepada untuk menimbulkan kesedaran dan keinsafan kerana mereka manusia dewasa mempunyai maruah. Orang dewasa ada kalanya mereka akan lebih malu jika maruah mereka dicabar berbanding dengan ditampar pipinya.

ii. Furqan Kedua- Pembeza antara zaman mukjizat yang dapat dilihat dengan mukjizat yang mesti dilihat dari segi fikiran.

Tidak mudah bagi umat terdahulu untuk beriman dengan kenabian dan kerasulan seorang utusan Allah. Sebagai contoh, kisah kedegilan umat Nabi Shaleh yang telah dirakamkan dalam surah A-Syura ayat 153 hingga 156. Demi untuk membuktikan kebenaran kenabiannya, kaumnya telah mencabar supaya menjadikan seekor unta dari seketul batu yang terbelah secara tiba-tiba di hadapan mereka. Meskipun suatu luar biasa telah dibuktikan, namun mereka tetap ingkar dan tidak menunaikan janji untuk beriman kepada Allah.
Sebaliknya, generasi selepas turunnya al-Quran disifatkan sebagai umat yang dewasa dan matang. Mereka sudah boleh mengambil perbandingan dari kisah-kisah kaum yang terdahulu sebagai tazkirah (peringatan), nasihat yang berharga dan hukum hakam yang sempurna. Umar al-Khatab, hatinya menjadi lembut dan mengalir air mata apabila timbul keinsafan setelah mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh saudara perempuannya. Umar tidak meminta supya batu menjadi unta atau pembuktian melalui benda lain untuk membenarkan kerasulan Muhammad. Memadai hanya al-Quran yang menjadi penawar, panduan dan ikutan.


iii. Furqan Ketiga- Berakhirnya zaman nabi untuk sesuatu bangsa tertentu dengan lahirnya Rasulullah yang diutus untuk seluruh bangsa.

Umat terdahulu apabila diturunkan seorang nabi kepada suatu kaum, beerti nabi tersebut hanya untuk bangsa tersebut sahaja. Maka syariat yang dibawanya adalah terhad bagi keperluan bangsa tertentu.
Sebaliknya, ajaran nabi Muhammad s.a.w. yang terkandung di dalam al-Quran adalah sesuai untuk seluruh manusia di semua pelusuk alam, yang melangkaui alam timur dan barat tanpa mengira warna kulit dan perwatakan. Nabi Muhammad s.a.w. membawa cahaya Islam, yakni rahmat kepada semua. Sebagaimana yang dinyatakan melalui firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 107, yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.

3. Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang hamba

Dalam ayat pertama ini, Allah SWT telah menggunakan perkataan “ ‘ala ‘abdihi”. Yang dimaksudkan hamba di sini, tidak lain ialah Nabi Muhammad s.a.w. Dari aspek pengertian biasa, hamba ialah manusia yang tidak memiliki kemerdekaan, yang rendah tarafnya dari kuli (yang masih mempunyai kebebasan walaupun ada syarat yang perlu dipatuhi). Wajarkah Nabi SAW dikatakan hamba atau kuli?
Allah SWT Maha Bijaksana, menghendaki setiap makhluk patuh pada segala arahanNya. Orang yang patuh adalah hamba kepada tuannya/majikannya. Kepatuhan seorang hamba kepada tuannya menyebabkan tuannya itu sayang kepadanya. Sebaliknya, kuli yang tidak patuh atau menangguhkan/mempersoalkan arahan, maka ia disebut kuli yang lawan tauke.
Di antara ramai hamba Allah SWT, hanya Nabi Muhammad yang sangat patuh atas apa jua arahanNya, maka Allah amat menyayangi baginda. Walaupun Nabi SWT hambaNya, tapi Allah telah memberikan keutamaan kepada baginda sehingga dijemput dan diperjalankan menghadap singgahsana Allah Taala dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj.
Demikianlah penghargaan Allah Taala kepada manusia yang bergelar hamba yang bernama Muhammad SAW. Baginda dibawa ke ufuk yang tinggi untuk menghadiri satu pertemuan dengan Allah SWT, pertemuan yang sungguh akrab dengan jarak yang amat dekat, iaitu hanya sejarak kira-kira dua hujung anak panah. Sesungguhnya Muhammad SAW bukanlah kuli/hamba kepada manusi, tetapi menjadi kuli/hamba kepada Allah Azza wa Jalla.

Bersambung…

JUNAIDAH ABU SEMAN
16 Oktober 2006
23 Ramadhan 1427

Wednesday, October 11, 2006

DUGRO 2

BERCAKAP BESAR

Kebiasaan bahkan mungkin budaya atau mungkin juga adat Melayu yang akan memanculkan refleks begini daripada hasrat Melayu lain. Jarang mudahnya kadang-kadang (Nujum Pak belalang) pujian sekalipun sokongan disogokkan serupa ini, "Baguslah Badin (bukan nama sebenar pemuda California). Aku bangga mengenali insan seperti kau. Harap kau dapat mencipta satu sejarah baru di Malaya"
Ada juga mengenegahkan "perlekehan" ini sekadar gurauan, ia tetap sama sekali budaya yang tidak sesuai disebatikan. Kobaran semangat perlu dirangsang lagi dipupuk dalam usaha memugarkan modal insan berkelaskan booster. Mudahya, kutukan sebenarnya kutukan lebih banyak membantutkan berbanding menyemarakkan.

Tegasnya, kita memang perlu bercakap besar untuk membuat perkara yang besar. Becakap besar mengerakkan momentum yang cukup besar dalam gelombang kehidupan kita. Minda kita juga akan berperanan memprogramkan kehendak ketumbukan yang deras termasuk menguatkan mitokondria kita mensitesiskan tenaga. Sendirinya, kreatif dan kritis wujud dalam diri kita sebagai imbuhan positif. Optimis, kerja itu akan ditekuni dengan penuh displin.

Berfikir dalam ruang lingkup yang minor membataskan lagi had sempadan kita. Umpama penagih tegar yang tiada memuatkan impian besar dalam akalnya serta membangunkan lagi tembok-tembok pemisah (Tembok Yahudi). Langsungan itu, penagih tersebut payah mahu dipulihkan tatkala campuran semangat kecil telah membarah hingga menyempitkan kotak fikiran.

Logiknya, imiginasi perlu lebih besar daripada keinginan yang hendak diraih. Sempadan realiti melangkaui had bayangan. Jika realiti mahu mengedar risalah sekitar KLCC, KL Sentral dan Mid Valley, imiginasinya pengedaran risalah seluruh KL. Begitu juga, realiti ingin membekal minuman soya seluruh Johor maka imiginasinya pembekalan seluruh Malaysia.

Minda boleh dan mesti diperalatkan untuk menggapai kecemerlangan apatah lagi berkaitan kemenangan Islam. Bercakap besar di khalayak umum lebih molek. Kita akan tertolak membuktkan kata-kata rentetan bebanan herdikan bakal menanti kiranya tiada tercapai. Bercakap tanpa berbuat adalah lemah sebaliknya tidak bercakap dan tidak berbuat jauh lebih lemah.

Natijahnya, sudut motivasi mengkelaskan jiwa kental mampu terbina merempuh cabaran, cercaan mendepani mehnah-mehnah. Subur pula hasrat, keinginan, sasaran, kemahuan, azam dan cita-cita. Wawasan kita akan lebih berpijak di bumi nyata lawanan retorik. Bercakap besar Nabi Sulaiman menundukkan kenaifan Ratu Balqis. Bercakap besar Nabi Ibrahim menentang kebejatan Namrud. Bercakap besar Umar meyakinkan sahabat untuk berhijrah sekaligus momokan kepada Musyrikin. Bercakap besar Rubi’ bin Amir optimis dengan aqidah Islam berdepan Panglima Parsi berideologi taghut jahiliyah. Pemikiran-pemikiran yang besar juga akan dilahirkan ditambah lagi acuan kita yang berakar umbikan Al-Quran dan Sunnah suluhan utama. Sahabat-sahabat kitalah golongan ini yang mengambalikan Islam di Malaysia. Amin
" Ya Allah! Ampunkan dosa kami, ibubapa kami, guru-guru kami, saudara dan sahabat seperjuangan kami. Bantulah kami dan tetapkan kami di atas jalan Mu yang hanif ini" amin

Ahmad Shanawey Roslan
Thn 3
Bioteknologi Makanan
Fakulti Sains dan Teknologi
KUIM/USIM

Anak Johor mengomel
0220 (3/5/06)

Tuesday, October 03, 2006

Fiqh Sirah

FIQH SIRAH
Bagaimana Berkembangnya Sirah Nabawiyyah Dan Bagaimana Kewajipan Memahaminya Hari Ini.

Sirah Nabi Dan Sejarah

Adalah menjadi kemegahan bagi orang Islam mempunyai latarbelakang dari pelbagai jenis kaum dan pelbagai jenis bahasa yang dipraktiskan di seluruh negara. Namun begitu, adalah lebih membanggakan bahawa sejarah gerakan yang agung adalah bermula dari sirah Nabi Muhammad SAW yang menjadi paksi asas; ibarat paksi gasing yang tetap pada lokusnya, putaran badannya yang berubah-ubah mengikut perubahan masa dan tempat (ma'asiraoh).

Maka dari sinilah titik bermula bidang penulisan di dalam tarikhul Islam yang ditulis oleh penulis-penulis seperti 'Urwah bin Zubair, Abban bin Uthman, Wahab bin Munabbih (Lapisan pertama),Muhammad bin Ishaq, Abi Muhammad Abdul Malik atau dikenali dengan Sirah Ibn Hisham (Lapisan Kedua) dan seterusnya ke hari ini. Pengaruh ini sama sekali memberi dampak kepada timbulnya sejarah penulisan dan pembacaan di Tanah Melayu yang dipelopori oleh golongan-golongan di madrasah-madrasah (pondok)! Bukan sama sekali golongan penjajah yang mengasaskan sistem pendidikan yang secular itu. Maka, jelas lagi terbukti bahawa Islam yang mengangkat darjat umat Melayu Islam untuk menuntut ilmu dan menyebarkannya.

Bahkan pemaparan mengenai sejarah kegelapan Jahiliyyah-keindahan Islam yang turut ditulis bagi menunjukkan ketinggian Islam melalui methode perbandingan. Maka tidak hairanlah di dalam al-Quran terdapat pelbagai perkara yang antagonis seperti malam lawannya Siang, Bumi-Langit, Tauhid-Syirik, Pahala-Dosa, Nabi Musa-Fir'aun, Muhammad-Abu Lahab, kebaikan- keburukan, HizbulLah-HizbusSyaiton dalam erti kata menunjukkan dengan lebih jelas dan sorih untuk difikirkan. Maka, dapat dikaitkan disini bahawa tuduhan yang mengatakan orang Islam yang memperkatakan keburukan dan kezaliman orang lain dengan labelan murtad adalah tuduhan yang dilemparkan oleh mereka yang jahil dan berfikiran se peringkat kerana ia adalah fitrah bahawa kebaikan itu pasti menandingi dan mengatasi kejahatan .

Oleh itu, Sirah Nabawiyyah merupakan paksi asas yang berputar di sekelilingnya gerakan penulisan kepada sejarah Islam di Semenanjung Arab ya'ni secara rentetannya bermula penulisan al-Quran, kemudian Hadith Nabawi seterusnya Sirah Nabawi dan tarikh (sejarah). Deduksinya, ia (Sirah Nabawiyyah) merupakan fakta yang penting kepada perkara-perkara yang berlaku di Semenanjung Arab dan sekitarnya.

Seni penulisan atau periwayatan sirah ini juga berbeza dari milikan penulisan barat kerana ianya mempunyai manhaj ilmiah yang teliti dalam menerangkan kejadian-kejadian yang berlaku bahkan dapat membezakan kebenaran dan kebatilan. Bukti bahawa penulisan Islam adalah penulisan yang terbaik lagi terpelihara dapat ditonjolkan dengan 2 sistem ilmu penulisan Sirah iaitu
1) Qawa'id Mustalahul Hadis dan
2) Ilmu Jarhu wa ta'dil (analisa perawi)

Inilah dikatakan sunnah atau sirah ini kunci kepada pintu kefahaman al-Quran sekaligus menyelar golongan yang anti hadis. Sebagai contoh didalam al-Quran menerangkan perihal solat dan wudhu' (surah al-Ma'idah ayat:6). Merujuk kepada ayat tersebut dari aspek lughowi, wudhu' dilakukan selepas mengerjakan solat dalam kata kerja telah berlalu (past tense). Adakah ini benar di dalam fiqh ibadah? Tidak! maka, sunnah nabi sama sekali tidak boleh disangkal kepentingannya bahkan ditakuti jatuh syirik jika tidak beri'tiqod dengannya.

Diantara kepentingan kedua-dua sumber ini al-Quran dan as-sunnah sebagai dustur umat Islam kerana kedua-duanya merupakan contoh yang bernilai dalam mempraktikkan ajaran Islam.

Unsur Tauhidik kepada Allah, Al-Quran kalamuLlah, tanggungjawab adalah antara faktor yang mencetuskan kepada perkembangan keyakinan para penulis terhadap penulisan sirah Nabi. Ini dapat dibuktikan dengan karya-karya berkaitan dengan Sirah Nabi hari ini. Wallahu a'lam.

Kata Al-Maududi, “Jika sejarah Islam itu diuji dengan batu penguji ilmu rijal nescaya tidak akan tinggal kecuali hanya 1/10 daripada sejarah Islam itu”.

( Dari buku “Khilafah wa Mulukiyyat” atau “Khilafah dan kerajaan)

Kata Al-Qardhawi, " Kebanyakan cerita sejarah yang kita ambil bukanlah dari sumber sejarah yang diyakini dan bukanlah daripada riwayat yang sabit. Sekiranya kita menggunakan prinsip al-Jarhu wa al-Ta'dil maka ia langsung tidak akan ada nilai".

( Dari terjemahan buku ' Pertentangan Islam dan Sekular: Sekular Pasti Tersungkur', Maktabah al-Qardhawi m.s.211 )


Rujukan
Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buthy, 2003. Fiqh Sirah, Darul Fikr Ma'asir.

3 Oktober 2006
Mohd Shafiq bin Mohd Zakaria
Bioteknologi Makanan
Tahun 3 KUIM

Tasammuh Dalam Berdakwah

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Pastinya kalian mengetahui akan erti tasammuh secara umum iaitu berlapang dada. Di sini penulis bukanlah mahu mengupas dengan mendalam tentang konsep tasammuh tetapi hanya pada permukaannya sahaja. Ini kerana, pemahaman sesuatu perkara hendaklah disertai dengan amal. Tiada gunanya mengetahui banyak perkara tetapi hanya pada teoritikal sahaja tanpa sedikit pun praktis.
Tasammuh di dalam dakwah amat penting dalam menjana kualiti dan kuantiti dakwah. Pendakwah yang selalu bersifat prejudis pastinya akan dijauhi oleh mad’u dan turut dilabel sebagai ekstremis mahupun jumud. Banyak pendakwah kini yang menunjukkan sifat prejudis terhadap mad’u dan berdakwah secara keras. Maka, ramailah orang yang akan menjauhi golongan ini kerana tidak tahan dengan kelakuan mereka terutama mad’u yang amat kurang pemahaman tentang Islam.
Sifat menyempitkan dada terhadap mad’u di dalam berdakwah boleh didorong oleh pelbagai faktor. Antaranya ialah penyakit hati da’ie itu sendiri. Sifat ujub dan riak dengan ilmu dan merasakan diri lebih beriman dan baik sering menghuni hati. Mungkin kadang-kadang kita tidak sedar, tetapi cuba kalian muhasabah kembali, pernahkah kalian merasakan begitu?
Sesetengah da’ie bahkan tidak mahu berkawan dengan mereka yang zahirnya kelihatan jahil. Namun sebenarnya golongan inilah yang perlu didekati kerana hati mereka kosong dari mengenali Islam yang sebenar. Kita hendaklah mengamalkan konsep jangan menambah musuh dalam kegiatan dakwah kita kerana gerakan musuh itu sentiasa cuba memikat hati sesiapa sahaja untuk menyertai mereka tanpa menilai penampilan orang tersebut. Biarpun orang tersebut berpakaian tidak senonoh atau tidak menutup aurat, tetapi jangan sampai mereka itu memihak kepada musuh.
Hendaklah diingat bahawa bahasa badan turut memainkan peranan dalam berdakwah. Jelingan mata adalah anggota yang paling utama menunjukkan perasaan seseorang. Jika pandangan mata para da’ie yang menunjukkan rasa menyampah pada mad’u ataupun senyuman sinis, maka mad’u akan menjadi bertambah benci pada golongan dakwah atas sifat prejudis yang ditunjukkan. Jadikan senyuman sebagai senjata untuk menyejukkan hati mad’u dan lapangkan dada kalian apabila berhadapan dengan golongan ini ketika berdakwah.
Pada hakikatnya, mad’u memandang tinggi kepada para da’ie dari segi penampilan, ibadah dan kelakuan sehingga mereka terasa segan untuk mendekatkan diri. Tetapi apabila da’ie sendiri cuba mendekati dan menjalinkan ukhuwah dengan mereka, maka para mad’u ini terasa dihargai. Ramai di kalangan mereka yang kelihatan jahil ini sebenarnya berhati lembut, namun kadang-kadang para da’ie sendiri yang cuba menutup pintu hidayah itu kerana merasakan mereka ini tak akan berubah. Selamilah keadaan mad’u dan berdakwahlah mengikut waqi’ mereka.
Imam Hasan Al-Banna amat dikenali dengan sifat tasammuhnya. Sifat inilah yang mampu mengubah insan-insan yang dahulunya golongan maksiat menjadi pejuang Allah yang amat hebat dan tak goyah digugah dengan ujian dan siksaan dalam perjuangan Ikhwanul Muslimin untuk menegak dan membela Islam. Antara kisah yang dapat dijadikan contoh ialah penerimaan Assyahid terhadap seorang tokoh yang tabiatnya ialah meminum arak ke dalam Ikhwanul Muslimin. Beliau menyatakan kepada tokoh itu bahawa Ikhwanul Muslimin akan menerimanya dengan apa jua kondisi tokoh tersebut. Akhirnya, tokoh itu telah meninggalkan tabiat minum araknya dan menjadi pendokong dakwah yang setia.
Rendahkan hatimu wahai para pejuang kerana yang boleh bermegah itu hanyalah Allah. Belum tentu kalian yang pada mulanya seorang da’ie akan kekal menjadi da’ie dan masuk ke dalam syurga Allah. Bahkan belum tentu orang yang sekarang ini kelihatan jahil dan tidak mengamalkan Islam sepenuhnya akan mengakhiri hidupnya begitu. Mungkin mereka akan menjadi lebih baik dari kita atas usaha dakwah orang lain dan hidayah yang Allah campakkan ke hati mereka. Ya Allah, tetapkan hati kami di atas agamaMu, ketaatan kepadaMu dan di atas jalanMu. Aamiin.

Disediakan oleh,

Nurul Hani Mohd Hata
Thn 3, Bioteknologi Makanan

Fakulti Sains dan Teknologi
Kolej Universiti Islam Malaysia

Monday, October 02, 2006

DUGRO 1

Sewajibnya kesedaran ini timbul bila menyarung pakaian berentiti ‘STUDENT POWER’ dan memahami tuntutan ‘jenama’ ini. Bahkan wajar diperjuangkan lebih lagi bila ianya diasaskan oleh kesedaran di atas kefahaman Islam. Coretan ini sekadar mengimbau sejarah mahasiswa tahun lepas bila birokrasi bergaul dalam pentadbir dan pendidik di universiti. Pemfokusan tulisan ini ekoran terjunamnya universiti terulung di Malaysia ke tangga yang boleh dikelaskan terteruk.

Sekalipun ianya membabitkan Universiti Malaya sahaja tetapi secara jelas memberi masej kepada semua tentang akedemia kita menerima tamparan hebat dari segi identiti hingga kewibawaan institusi pengajian tinggi awam negara telah tercemar. Implikasi ini menguatkan lagi keyakinan kita terhadap kesemua akedemia nasional sedang diruntuhkan dasar intelek sejati, dengan zahirnya anasir-anasir politik yang mencengkam dan berbahaya kepada halatuju negara.

Imbauan kita bermula dengan isu dua pensyarah di UM yang berkonfrontasi dengan pentadbirannya hinggalah taraf universiti yang merundum mengikut piawaian Times Higher Education Supplement (THES). Memungkinkan kita melihat inilah masanya di mana akedemia nasional dijuadahkan dengan tendangan yang paling buruk dalam sejarah pendidikan.

Ditegaskan juga Malaysia di antara negara yang memiliki paling banyak IPTA serta tersirat daripada banyak IPTA melangsungkan juga banyak ahli-ahli akedemik dan pencapaian yang unggul lagi berprestij. Suatu igauan lagi pada kita inilah zaman yang pertama negara menubuhkan Kementerian Pengajian Tinggi yang bertekad mewujudkan pendidikan serantau dan global.

Hebahan di media massa mengenai kejayaan-kejayaan wakil universiti menyertai pertandingan hingga peringkat antarabangsa sekadar mangkin meraih hati rakyat agar memasuki universiti-universiti tersebut. Keterujaan jelas terpampang dengan memasang papan-papan iklan dan kain-kain rentang di sektar kampus disongsangkan lagi dengan tiada inisiatif strategik mempertahankan kedudukan apatah lagi melonjakkan di dalam carta kedudukan.

Kedudukan univesiti sebenarnya hanya cerminan pengiktirafan dan bukanlah jelmaan hadiah atau anugerah yang dijadikan penjurus kepada perlumbaan. Diingatkan juga, silapnya terbongkar apabila doktrin sempit masyarakat kita mentakrifkan kecemerlangan dinilai sekadar hanya melalui peperiksaan. Orientasi kita disempitkan juga dengan pensijilan dan natijahnya memomokan mentaliti mengejar kemegahan yang sempit.

Kesedaran dikalangan mahasiswa tulen dirindui tatkala kepupusan minda-minda pemikir asli. Perdebatan mesti membicarakan motif sebenar universiti ditubuhkan samada mengeluarkan produk-produk siswazah yang diprogramkan untuk bekerja atau memugar idelisme murni tersendiri. Hakikat ilmu tidak begitu, idealisme ilmu berfalsafahkan mencari kebenaran. Falsafah murni ini hanya mampu dijayakan oleh inventor-inventor serta idealis-idealis yang benar-benar ikhlas. Ringgit mahupun kemegahan adalah hasil penularan eksploitasi industri ke atas penemuan-penemuan akedemik tertentu yang memandu negara ke arah kemunduran. Bangkitlah mahasiswa sejati mendepani cabaran ini dalam usaha memugarkan idialisme menjunjung kebenaran sambil merobohkan birokrasi murahan.

Ahmad Shanawey Bin Roslan

Tahun 3, Bioteknologi Makanan
Fakulti Sains dan Teknologi
Kolej Universiti Islam Malaysia