Tuesday, October 03, 2006

Fiqh Sirah

FIQH SIRAH
Bagaimana Berkembangnya Sirah Nabawiyyah Dan Bagaimana Kewajipan Memahaminya Hari Ini.

Sirah Nabi Dan Sejarah

Adalah menjadi kemegahan bagi orang Islam mempunyai latarbelakang dari pelbagai jenis kaum dan pelbagai jenis bahasa yang dipraktiskan di seluruh negara. Namun begitu, adalah lebih membanggakan bahawa sejarah gerakan yang agung adalah bermula dari sirah Nabi Muhammad SAW yang menjadi paksi asas; ibarat paksi gasing yang tetap pada lokusnya, putaran badannya yang berubah-ubah mengikut perubahan masa dan tempat (ma'asiraoh).

Maka dari sinilah titik bermula bidang penulisan di dalam tarikhul Islam yang ditulis oleh penulis-penulis seperti 'Urwah bin Zubair, Abban bin Uthman, Wahab bin Munabbih (Lapisan pertama),Muhammad bin Ishaq, Abi Muhammad Abdul Malik atau dikenali dengan Sirah Ibn Hisham (Lapisan Kedua) dan seterusnya ke hari ini. Pengaruh ini sama sekali memberi dampak kepada timbulnya sejarah penulisan dan pembacaan di Tanah Melayu yang dipelopori oleh golongan-golongan di madrasah-madrasah (pondok)! Bukan sama sekali golongan penjajah yang mengasaskan sistem pendidikan yang secular itu. Maka, jelas lagi terbukti bahawa Islam yang mengangkat darjat umat Melayu Islam untuk menuntut ilmu dan menyebarkannya.

Bahkan pemaparan mengenai sejarah kegelapan Jahiliyyah-keindahan Islam yang turut ditulis bagi menunjukkan ketinggian Islam melalui methode perbandingan. Maka tidak hairanlah di dalam al-Quran terdapat pelbagai perkara yang antagonis seperti malam lawannya Siang, Bumi-Langit, Tauhid-Syirik, Pahala-Dosa, Nabi Musa-Fir'aun, Muhammad-Abu Lahab, kebaikan- keburukan, HizbulLah-HizbusSyaiton dalam erti kata menunjukkan dengan lebih jelas dan sorih untuk difikirkan. Maka, dapat dikaitkan disini bahawa tuduhan yang mengatakan orang Islam yang memperkatakan keburukan dan kezaliman orang lain dengan labelan murtad adalah tuduhan yang dilemparkan oleh mereka yang jahil dan berfikiran se peringkat kerana ia adalah fitrah bahawa kebaikan itu pasti menandingi dan mengatasi kejahatan .

Oleh itu, Sirah Nabawiyyah merupakan paksi asas yang berputar di sekelilingnya gerakan penulisan kepada sejarah Islam di Semenanjung Arab ya'ni secara rentetannya bermula penulisan al-Quran, kemudian Hadith Nabawi seterusnya Sirah Nabawi dan tarikh (sejarah). Deduksinya, ia (Sirah Nabawiyyah) merupakan fakta yang penting kepada perkara-perkara yang berlaku di Semenanjung Arab dan sekitarnya.

Seni penulisan atau periwayatan sirah ini juga berbeza dari milikan penulisan barat kerana ianya mempunyai manhaj ilmiah yang teliti dalam menerangkan kejadian-kejadian yang berlaku bahkan dapat membezakan kebenaran dan kebatilan. Bukti bahawa penulisan Islam adalah penulisan yang terbaik lagi terpelihara dapat ditonjolkan dengan 2 sistem ilmu penulisan Sirah iaitu
1) Qawa'id Mustalahul Hadis dan
2) Ilmu Jarhu wa ta'dil (analisa perawi)

Inilah dikatakan sunnah atau sirah ini kunci kepada pintu kefahaman al-Quran sekaligus menyelar golongan yang anti hadis. Sebagai contoh didalam al-Quran menerangkan perihal solat dan wudhu' (surah al-Ma'idah ayat:6). Merujuk kepada ayat tersebut dari aspek lughowi, wudhu' dilakukan selepas mengerjakan solat dalam kata kerja telah berlalu (past tense). Adakah ini benar di dalam fiqh ibadah? Tidak! maka, sunnah nabi sama sekali tidak boleh disangkal kepentingannya bahkan ditakuti jatuh syirik jika tidak beri'tiqod dengannya.

Diantara kepentingan kedua-dua sumber ini al-Quran dan as-sunnah sebagai dustur umat Islam kerana kedua-duanya merupakan contoh yang bernilai dalam mempraktikkan ajaran Islam.

Unsur Tauhidik kepada Allah, Al-Quran kalamuLlah, tanggungjawab adalah antara faktor yang mencetuskan kepada perkembangan keyakinan para penulis terhadap penulisan sirah Nabi. Ini dapat dibuktikan dengan karya-karya berkaitan dengan Sirah Nabi hari ini. Wallahu a'lam.

Kata Al-Maududi, “Jika sejarah Islam itu diuji dengan batu penguji ilmu rijal nescaya tidak akan tinggal kecuali hanya 1/10 daripada sejarah Islam itu”.

( Dari buku “Khilafah wa Mulukiyyat” atau “Khilafah dan kerajaan)

Kata Al-Qardhawi, " Kebanyakan cerita sejarah yang kita ambil bukanlah dari sumber sejarah yang diyakini dan bukanlah daripada riwayat yang sabit. Sekiranya kita menggunakan prinsip al-Jarhu wa al-Ta'dil maka ia langsung tidak akan ada nilai".

( Dari terjemahan buku ' Pertentangan Islam dan Sekular: Sekular Pasti Tersungkur', Maktabah al-Qardhawi m.s.211 )


Rujukan
Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buthy, 2003. Fiqh Sirah, Darul Fikr Ma'asir.

3 Oktober 2006
Mohd Shafiq bin Mohd Zakaria
Bioteknologi Makanan
Tahun 3 KUIM

No comments: